11 Jan 2024
Setiap tahun, Orang Asli Temuan di Kampung Pulau Kempas, Kuala Langat, meraikan rezeki yang diterima melalui sambutan Haik Muyang, sebuah perayaan yang penuh dengan makanan tradisional dan adat leluhur.
Pada tahun 1980-an, Lisa dan Shaq Koyok mengimbau kembali suatu ketika mereka melintasi ‘titi kayu’, laluan kayu sementara, menjangkau jarak dari sebuah kilang terbiar ke Kampung Pulau Kempas, kira-kira 500 meter jauhnya. Di bawah titi yang dibuat daripada pokok besar yang ditebang, air dari paya gambut membanjiri kawasan itu, menjadikan kampung itu sebuah ‘pulau.’
Sekarang, jalan menuju Kuala Langat diapit pohon kelapa sawit dan kelihatan baru diturap, sibuk dengan kereta dan lori panjang dalam perjalanan antara Banting ke Cyberjaya. Gamuda Cove SplashMania yang dibina baru-baru ini, terletak tidak jauh dari perkampungan Temuan dan mungkin satu-satunya sebab penampilan infrastruktur awam yang kini digilap bukan suatu kejutan untuk kami.
Bagi orang Asli Temuan di Kuala Langat, Haik Muyang merupakan hari perayaan yang paling penting.
“Kalau dah cukup setahun dan kumpul rezeki sepanjang tahun, kira hasil semua bayar balik kepada malaikat bagi sama rata. Makan bersama-sama,” jelas Lisa apabila ditanya maksud sambutan itu. Berakar umbi dalam kehidupan mereka yang berpaksikan budaya pertanian, setiap aspek mementingkan hubungan harmoni dengan tanah dan leluhur yang tidak lelah menyediakan rezeki.
Lisa dan ahli keluarganya melakukan kebanyakan penyediaan pada malam sebelumnya, untuk memudahkan proses memasak pada keesokan harinya. “Kita buat open house lain hari dari kampung lain (merujuk kepada kampung-kampung berdekatan, i.e: Kampung Busut Baru, Kampung Bukit Cheeding and Kampung Kemandul), supaya ada masa untuk ziarah-menziarah satu sama lain,” kongsi Lisa sambil menganyam ‘ketupat lepas’ yang digunakan selepas ritual ‘mandi bunga’. Tangannya cekap mengerjakan dua jenis anyaman ketupat yang berbeza, yang secara simboliknya untuk melepaskan niat—satu dibuat untuk pihak lelaki dan satu lagi untuk wanita.
Dalam rumah tangga Temuan, memang ketara bahawa kaum lelaki dan perempuan berkongsi tugas menyedia dan memasak makanan.
Hari sebelumnya
Haik Muyang berkisar terutamanya pada perkongsian makanan bersama orang-orang kampung. Setiap tahun, Lisa dan adik mertuanya akan memasak masakan tradisional Temuan selain sup bihunnya yang cukup terkenal. Sambil berbual, dia tunjukkan Nasi Landau, yang disediakan untuk makan malam. Selain daripada nasi kosong yang biasa dimakan, masyarakat Temuan secara tradisinya memasak nasi landau, iaitu nasi dimasak dengan keledek, keladi, dan ubi sebagai pengganti. Tumbuhan-tumbuhan berubi ini sememangnya antara kesukaan Orang Asli Temuan, sejurus melengkapkan rasa manis dalam masakan tersebut. Antara pelengkap nasi landau ialah ubi lempaq, iaitu merupakan ubi kayu yang dimasak dengan daun kunyit dan santan. Ubi kayu yang diambil dari kebun halaman mereka sendiri, dipotong dadu dan direbus dalam periuk besar selama sejam, menghasilkan kuah yang pekat dan berasa lemak.
“Tahun ini, ubik kacau sudah ‘pachol’, maksudnya tak jadi sebab cuaca tak mengizinkan,” jelas Shaq sambil menyenduk nasi landau dari periuk. Beliau menjelaskan bahawa cuaca ekstrem sudah pasti telah mengubah cara penggunaan bahan masakan, menyebabkan kurang ruang untuk pemeliharaan makanan tradisional orang asli. Kami bertuah dapat merasai ubik kacau pada kali terakhir kami mengunjungi rumahnya, di mana ibu dan kakaknya bersungguh-sungguh menyediakan hidangan tradisional ubi kayu yang melibatkan proses penapaian, pengeringan dan pemanggangan.
Barisan tiang buluh kira-kira satu meter setiap satu disusun di atas meja oleh Shaq dan Lezuri, abang iparnya pada malam sebelumnya. Hujan mula turun lagi, dan kami bergilir-gilir meletakkan daun pisang di tepi unggun api. Daun yang telah dilayurkan kemudiannya digulung dan diisi ke dalam tiang buluh, sedia untuk inti ayam yang telah diperap keesokan harinya. Secara tradisinya, ayam masak dalam buluh disediakan dengan ramuan buah kulim yang memberikan sedikit rasa pahit dan seakan bau bawang putih. Dalam rumahtangga Orang Asli Temuan, jelas kelihatan bahawa kedua-dua pihak lelaki dan wanita mengambil bahagian dalam penyediaan dan memasak makanan.
Pada hari kenduri
Lezuri, suami Lisa, menyusun tangkai buluh berhampiran katil bara dan dibiarkan selama kira-kira sejam sehingga bahagian luarnya bertukar sedikit coklat. Begitu juga dengan lemang tepung yang intinya dibuat dari tepung dan pandan atau gula melaka sebagai bahan utamanya. Tekstur lemang tepung yang licin dan likat menjadikan ia sajian yang lengkap untuk mengakhiri jamuan. Sambil terus menjamah makanan, Shaq bersahaja menjelaskan bahawa dalam kepercayaan Temuan, tidak lazim untuk menggambarkan rasa makanan yang dimakan ketika berada di dalam hutan, supaya tidak menarik perhatian ‘semangat-semangat’ atau roh. ia. Sebaliknya, seseorang harus menyediakan sedikit makanan untuk semangat-semangat tersebut terlebih dahulu.
Tidak lama kemudian, Tok Batin Raman Bin Pahat, ketua kampung Pulau Kempas, tiba di rumah keluarga Lisa, menyambut tetamu lain dari kampung berbeza dengan ‘Selamat Haik Muyang’. Memerhati ‘rumah sangga’ setiap isi rumah, sebuah rumah kecil untuk penyembahan malaikat dan nenek moyang, Batin Raman menekankan kepentingannya sebagai tempat untuk berdoa.
“Setiap rumah ada ‘rumah sangga’, sembahyang kepada muyang dan malaikat-malaikat. Doa kepada muyang, minta kepada mereka menjelang tahun baru – untuk panjangkan umur, murahkan rezeki, dengan azam yang baru dan cita-cita yang hajatkan,” jelas Batin Raman.
Sebahagian besar Haik Muyang ditujukan untuk upacara ‘sembahyang kubur’ pada pagi 28 Disember di tanah perkuburan yang terletak berhampiran pintu masuk kampung. Doa dibuat kepada nenek moyang mereka, menyatakan kesyukuran dan memohon kesihatan yang baik dan limpahan kekayaan yang berterusan. Berikutan itu, mereka akan adakan upacara ‘mandi bunga’ untuk membersihkan badan apabila kembali dari kubur. Dinasihatkan juga untuk mengelakkan penggunaan bunga yang bergetah untuk mandi kerana sifatnya yang beracun. Air diisi di dalam ‘tempayan’ yang dihiasi dengan anyaman daun nipah dan diletakkan di sebelah ‘rumah sangga.’
Adalah tidak diketahui ramai bahawa Orang Asli Temuan terus mengamalkan sistem kepercayaan mereka dalam merentasi dan menghidupkan landskap yang kian diapit perubahan dan pembangunan semasa. “Perayaan Haik Muyang memang tidak diketahui ramai. Saya harap generasi muda (Temuan) teruskan memberitahu orang-orang luar tentang adat resam kita dan betapa pentingnya untuk kita menjaganya,” kata Batin Raman semasa kami berpisah.
***
Lulusan sarjana seni bina, Syarifah Nadhirah bekerja sebagai visual artist dan kini bertugas sebagai pengurus kreatif di Forest House. Hasil karyanya juga bertumpu kepada pengkatalogan tumbuhan makanan Malaysia melalui bukunya, ‘Recalling Forgotten Tastes’.
Masa depan makanan Kadazandusun
Soal jawab bersama Syarifah Nadhirah
Sejarah dan evolusi barbeku Dayak