13 Jan 2021
Periuk berbual dengan Syarifah Nadhirah, penulis dan pelukis of ‘Recalling Forgotten Tastes’, untuk meninjau tentang kerja dan proses dalam pembikinan buku ini.
‘Recalling Forgotten Tastes’ (‘Mengingat Rasa Yang Dilupai’) adalah sebuah buku berilustrasi tentang tumbuhan makanan, hidangan, dan kenangan seni memasak masyarakat Temuan dan Semai di Malaysia. Disusun dan dilukis oleh pelukis Syarifah Nadhirah, buku ini menghuraikan pelbagai unsur botani dari hutan Malaysia yang menyuburkan semangat luhur dan tubuh badan orang asli, seterusnya menyeru kami semua untuk mengingat semula rasa dari tanah air kita sebelum dilupakan.
Kami berbual dengan si penulis dan pelukis untuk meninjau tentang kerja, proses, dan caranya mengharungi isu perwakilan di dalam masyarakat pelbagai bangsa.
Hai Nadhirah! Ceritakan tentang diri anda dan di mana anda berada.
Nama saya Syarifah Nadhirah dan saya sekarang berada di dalam studio seni saya. Yang anda nampak ini semua kerja saya [menunjuk ke arah lukisan warna air di atas dinding di belakangnya]. Latar belakang saya ialah seni bina, tetapi saya sekarang berkarya dengan kertas. Alat tulis, jenama korporat, reka bentuk grafik, dan sebagainya, benda-benda macam tu. Minat utama saya ialah unsur botani. Saya memang dah lama mengecat [subjek] tumbuhan.
Bagaimanakah anda boleh sampai ke topik ‘Forgotten Tastes’? ‘Taste’ siapa yang dilupakan?
Memang tak sengaja, sebenarnya! Saya tiba-tiba terfikir untuk lebih menyelidik tentang ekologi tempatan dan juga untuk mendokumen tumbuhan endemik. Saya ada berjumpa dengan Dr Rusaslina Idrus dari Universiti Malaya dan dia banyak bekerja dengan masyarakat Orang Asli (OA). Dia menggalakkan saya untuk bekerja dengan mereka juga dan membawa saya ke sebuah kampung di Labu, Negeri Sembilan. Kami menyambut Krismas dengan mereka, dan salah seorang wanita di kampung itu membawa kami keliling tamannya yang penuh tumbuhan makanan.
Selepas itu, saya diterima untuk menjalankan residensi seni di Rimbun Dahan. Untuk mereka yang tidak pernah ke pusat seni ini, tempat ini memang penuh dengan pokok dan tumbuhan makanan. Kemudian pandemik pula terjadi. Saya cuba menjalankan penyelidikan atas talian, tapi kerja saya memang sangat visual. Jadi bila-bila sahaja PKP dilonggarkan, saya merancang untuk ke kampung-kampung OA.
Tentang ‘Forgotten Tastes’ pula, ini lebih kepada ilmu turun-temurun yang telah mula lesap dari masyarakat OA dan sudah hampir lenyap dari masyarakat majoriti di Malaysia. Kami semua pernah bergantung kepada hasil tanah dan ramai masih sedemikian. Buku ini percubaan untuk memelihara sebahagian daripada ilmu ini untuk generasi akan datang.
Ceritakan lagi tentang buku ini. Kami baru sahaja menerima buku ini dan ia nampak seperti mini ensiklopedia yang sangat menarik.
‘Recalling Forgotten Tastes’ meraikan tumbuhan asli dan kepelbagaian makanan. Apa lagi yang kita boleh makan selain apa yang ada di pasar raya? Apa yang kita tak pernah cuba rasa? Memang banyak yang kita boleh pelajari daripada mereka, bukan mereka yang belajar dari kita. Kebanyakan isi kandungan buku ini ialah lukisan warna air dan penerangan tentang tumbuhan yang saya jumpa. Saya sertakan petikan tentang kampung-kampung yang saya lawati dan juga potret orang-orang yang saya temui. Saya juga mahu memasukkan nama asli tumbuhan-tumbuhan dan bukan sahaja nama saintifik, kerana ilmu itu harus juga dipelihara.
Berapa tempat yang anda lawati? Kumpulan OA mana yang menjadi fokus utama anda?
Saya sebenarnya memang mahu melawat lebih daripada satu kampung untuk merakam tumbuhan yang ada di situ, tetapi satu tempat saja dah banyak bahan untuk saya catat. Jadi saya fokus lebih kepada masyarakat Semai dan Temuan, kerana lebih senang untuk saya ke kampung mereka dari KL, terutamanya dengan sekatan perjalanan semasa PKP.
Siapakah titik hubungan anda semasa proses ini?
Apabila saya masih di Rimbun Dahan, saya berjumpa dengan Raman Bah Tuin, seorang Semai dari Gombak, dan saya juga sudah kenal artis Temuan, Shaq Koyok. Shaq membawa saya ke Pulau Kempas dan hutan Kuala Langat, dan memperkenalkan saya kepada keluarganya.
Apakah pengalaman anda yang paling berharga semasa proses ini?
Hubungan Orang Asli dengan makanan mereka. Mereka sering makan tumbuhan kerana daging tak selalu didapati. Ini bermaksud yang mereka memasak tumbuhan-tumbuhan ini dengan cara yang sangat kreatif. Sebagai contoh, Kak Lisa ada menyediakan hidangan ubi kikir atau ubi sangai selama seminggu kerana perlu ditapai dahulu, jadi kami hanya nampak prosesnya. Kali kedua kami ke sana, kami berpeluang untuk merasa hasilnya yang telah menjadi seperti bijirin selepas digoreng. Mereka menggunakan tumbuhan dalam cara yang menyeluruh dan tidak membazir, dan menggunakan bahan seperti buluh dan daun sebagai alat makan dan masak.
Ceritakan lagi tentang cabaran yang ditemui semasa proses pendokumenan.
Pemandu-pemandu saya memang sangat murah hati dan baik hati, tetapi ada banyak tumbuhan yang mereka pesan supaya saya tidak lukis atau tulis. Ini kerana tumbuhan-tumbuhan ini terlalu berharga, dan banyak tumbuhan dicuri dan dieksploitasi. Jadi saya dan titik-titik hubungan saya (Raman Bah Tuin, Samsul Senin, Lisa Koyok) banyak berbincang kalau saya dibenarkan menerbit maklumat tentang sesetengah tumbuhan.
Sebagai contoh, Raman bercucuk tanam di tepi hutan. Katanya memang susah untuk mendapatkan tumbuhan, kerana ramai sudah tahu tentang tempat ini dan mengambil sahaja apa yang mereka jumpa, seperti tongkat ali, kacip fatimah, dan pucuk manis. Waktu saya di dalam hutan dengan Raman pun ada orang yang datang dengan parang, memetik apa sahaja yang mereka nak.
Pada pendapat anda, wujud rasa kurang hormat terhadap kelestarian pertumbuhan semula hutan, kerana ramai mengambil hasil hutan untuk keuntungan?
Ya, memang. Setiap hutan yang saya lawati sedang melalui cabarannya sendiri. Kampung Semai di Gombak sudah dibina pada tahun 1970an. Kampung ini berkembang secara organik sehingga kini, dan pada satu ketika ada lebuh raya yang dibina betul-betul di belakang kampung ini. Pemandu di lebuh raya ini membuang sampah ke luar tingkap dan sampah ini sering jatuh ke dalam Sungai Gombak dan kampung di bawah. Memang setiap minggu kena ada gotong-royong untuk bersihkan sungai.
Wah. Kalau tak nak kisah pasal hutan atau haiwan itu, satu hal. Tapi memang ketara menurut anda yang ramai tidak perasan yang ada orang yang tinggal di dalam hutan atau bergantung kepadanya.
Betul. Kalau nak cakap pasal Hutan Simpan Kuala Langat, ini memang hutan purba, hutan yang tidak pernah ditebang atau ditanam semula. Apabila pandemik terjadi dan ramai hilang mata pencarian, mereka tidak boleh ke kedai seperti dulu. Jadi mereka pulang ke hutan sebagai sumber makanan, terutamanya sebab memang susah untuk membawa bekalan makanan ke dalam kawasan perkampungan.
Apakah pendapat anda sebagai seorang Melayu yang bekerja dengan ilmu Orang Asli? Bagaimanakah anda mendamaikan fikiran majoriti/minoriti, terutamanya apabila dilihat dari segi isu-isu perkauman yang masih berlaku di serata dunia walaupun sudah tahun 2020?
Saya membesar sebagai seorang Melayu, dan memang merasa resah apabila melihat bagaimana bangsa-bangsa majoriti seperti sudah putus hubungan dengan Orang Asli, dan memang tidak banyak yang diketahui tentang budaya Orang Asli. Saya berharap yang melalui buku ini, orang ramai akan membaca tentang tumbuhan melalui kanta mata mereka yang berkongsi pengetahuan mereka dengan saya.
Saya harus bersikap penuh hormat pada setiap langkah, terutamanya berkaitan pemberian izin dan pengajaran diri sendiri tentang masyarakat mereka dan kesusahan mereka, dan juga hajat semua yang terlibat. Saya bukanlah seorang penyelamat. Hajat saya adalah untuk melukis tumbuhan-tumbuhan ini, menyusun lukisan, dan mendapat pandangan mereka tentangnya. Saya mempersembahkan buku ini kepada mereka supaya mereka dapat lihat yang ini sebuah cara untuk memelihara ilmu mereka.
Ada yang mungkin mempertikaikan cadangan anda untuk membubuh nama anda di kulit buku ‘Recalling Forgotten Tastes’ sebagai tanggapan yang anda adalah pemilik ilmu ini, dan bukan yang anda penulis buku ini (walaupun memang pun anda menulis buku ini!). Politik perwakilan pada waktu ini memang tegang, dan pertikaian ini memang bermakna. Apakah jawapan anda?
Ini sebenarnya tentang hakcipta. Ya, memang saya mengumpul ilmu ini dari masyarakat-masyarakat lain, tetapi persoalannya adalah lukisan siapakah ini, pengalaman siapakah ini. Secara praktikal, ini juga penting untuk penerbitan buku! Saya sebenarnya tidak mahu meletakkan nama saya di kulit buku, tetapi saya berbincang dengan beberapa kawan di Indonesia yang pernah bekerja dengan masyarakat orang asli mereka juga. Mereka mencadangkan yang saya menggunakan lesen Creative Commons, yang menerapkan cara hasil kerja ini dikumpul dengan ahli masyarakat dan juga cara kerja ini akan dikongsikan untuk tujuan pendidikan.
Apakah rancangan anda sekarang, selepas penerbitan ‘Recalling Forgotten Tastes’?
Saya mahu menjalankan lebih penyelidikan lagi. Salah satu projek saya yang seterusnya bertajuk ‘Mapping Indigeneity: With Plants’ (‘Memetakan Keaslian: Dengan Tumbuhan’), yang bukan bertujuan sebagai pangkalan data, tetapi pengenalan kepada tumbuhan asli. Saya sedang berusaha untuk menerbitkan beberapa lukisan tumbuhan makanan kepada laman web mikro yang berkaitan dengan buku ini. Ada juga usaha sama yang bakal dijalankan dengan rakan-rakan yang juga bekerja dengan masyarakat OA untuk mendokumenkan makanan dan resepi mereka.
Bagaimanakah kami boleh dapat tahu lagi tentang budaya makanan OA?
Berbual sahaja dengan mereka! Atau berhubung dengan masyarakat OA berdekatan. Mereka akan suka berbual tentang makanan asli mereka bersama sesiapa yang berminat. Ada banyak bahan ilmu tentang tumbuhan asli di negara ini, tetapi bukan tentang budaya makanan asli.
Kami suka sangat nasihat itu kerana sejarah budaya kita asalnya memang dalam bentuk lisan. Kita hanya mula mendokumen budaya kami secara bertulis pada abad yang lalu.
Saya rasa memang penting untuk ilmu ini dikongsi, supaya orang ramai faham yang pemeliharaan hutan kita yang sudah terancam ini sesuatu yang sangat mustahak.
Belilah ‘Recalling Forgotten Tastes’ di sini.
Diterjemah oleh Alia Ali.
Masak dengan perlahan
Masakan Melayu tanpa daging? Nak!
Sejarah dan evolusi barbeku Dayak