Periuk logo
Periuk logo

Generasi muda Kadazandusun kini membesar dengan Happy Meals dan kemudahan pasar raya. Ini bermaksud yang ramai tidak biasa dengan rasa makanan asli mereka, termasuk nama-nama makanan tersebut.

Contohnya, takob akob sering digambarkan sebagai manggis ‘hutan’ dan kulitnya dikeringkan untuk digunakan sebagai perisa masam apabila memasak. Rasanya sangat masam dan menyengat apabila buahnya dimakan segar. Rupa tuhau pula seperti gabungan bunga kantan dan lengkuas, dan sering digantikan dengan halia walaupun baunya lebih tajam daripada bau halia. Bosou pula sejenis ikan isi putih yang dijeruk. Baunya kuat dan rasanya masam dan pahit.

Bosou sejenis jeruk ikan. Apa-apa jenis ikan boleh digunakan asalkan betul-betul segar. Ikan mentah ini dilumur dengan garam kemudian disimpan di dalam bekas kedap udara untuk 1-2 minggu. Pison juga menggunakan pangi atau buah keluak sebagai ramuan tambahan bosounya. Anda boleh menikmati bosou dengan nasi putih, atau ditumis dengan cili putih dan limau. Gambar ihsan: Pison Jaujip

Dalam era globalisasi, budaya makanan asal yang masam dan berbau telah menjadi rasa yang tidak digemari ramai. Ada di antara mereka yang membesar dengan rasa-rasa  ini tetapi tidak menghiraukannya lagi. Anjelen Daransun merupakan Pengurus Program Sosioekonomi untuk pertubuhan komuniti asli PACOS Trust. Pertubuhan ini kini berusaha untuk melibatkan golongan muda dalam pertanian tradisional supaya keselamatan makanan mereka lebih utuh.

“Memang susah. Di kampung, mereka nak tinggalkan apa yang sudah ada,” kata Anjelen. Ramai yang mahu meninggalkan tanah, sungai, dan hutan yang membolehkan pemilikan pengeluaran makanan. Kawasan tanah besar yang boleh diusahakan untuk menanam tumbuhan makanan digunakan pula untuk perusahaan tanaman kelapa sawit. Mereka sudah mula mempunyai citarasa baru dalam pemakanan. Mi segera dan sardin dalam tin adalah antara makanan yang digemari kini.

Anjelen dan pasukannya menimbang dan membungkus bahan yang akan dijual di Community Market mereka. Gambar ihsan: Natasha Sim
Anjelen dan pasukannya menimbang dan membungkus bahan yang akan dijual di Community Market mereka. Gambar ihsan: Natasha Sim

Nasi lemak, roti canai, dan char kueh teow sering diungkit semasa perbincangan tentang makanan Malaysia, dan inilah akibatnya apabila budaya makanan Malaysia tidak diwakili dengan adil. Ikan jeruk atau tumbuhan hutan bukanlah seperti mi segera — penyediaannya memakan masa dan memerlukan sedikit usaha. Tidak seperti mi segera. Tidak hairanlah yang ramai akan memilih pilihan yang paling mudah. PACOS berharap dapat mengubah trend ini melalui inisiatif seperti Kivatu Nature Farm (KNF) untuk menginspirasikan orang ramai supaya bertani dan mengguna ramuan asli.

Penyelaras Sumber Manusia PACOS Claudia Lasimbang bersetuju. “Kami memperkenalkan teknik pertanian moden yang boleh meningkatkan hasil tanaman serta mengajar cara pemprosesan makanan. Ini adalah sebahagian daripada proses mengajar orang ramai untuk lebih yakin dengan keselesaan hidup dan mata pencarian mereka,” katanya. Anjelen juga berkata yang pertanian tumbuhan makanan memang boleh dijalankan bersama tanaman tumbuhan pengeluaran yang menguntungkan.

Kivatu Nature Farm (KNF) mengkaji cara penanaman padi System of Rice Intensification (SRI) untuk meningkatkan hasil pertanian. Gambar ihsan: Natasha Sim
Kivatu Nature Farm (KNF) mengkaji cara penanaman padi System of Rice Intensification (SRI) untuk meningkatkan hasil pertanian. Gambar ihsan: Natasha Sim

Tetapi seringkali, inisiatif KNF tidak dapat menarik perhatian golongan muda. Mereka yang hadir di program luar bandar selalunya sudah berusia dan mungkin hanya hadir untuk mengimbau kenangan lama.. Anjelen pernah melihat sendiri di bengkel-bengkel khas untuk anak-anak muda ini,  mereka lebih berminat bermain dengan peranti pintar dan permainan PUBG mobile. Perbezaan antara pemikiran urban dan luar bandar sangat ketara. Di bandar, orang ramai mula mendekatkan diri dengan trend global seperti makanan organik, bebas gluten, dan vegan. Tetapi orang luar bandar memilih yang sebaliknya.

Tradisi Kadazandusun juga sebuah tradisi yang lisan, dan ini bermaksud yang kehilangan bahasa Kadazandusun akan membawa kepada kepupusan budaya makanannya. Ilmu pengetahuan diajar secara lisan melalui pantun dan rinait yang digunakan untuk memohon rahmat bagi sawah padi dan lain lagi.

Nasi lemak gaya Sabah dengan kinoing atau ikan masin, sambal takob akob, dan lauk nasi lemak biasa. Gambar ihsan: The Sixpack Baker
Nasi lemak gaya Sabah dengan kinoing atau ikan masin, sambal takob akob, dan lauk nasi lemak biasa. Gambar ihsan: The Sixpack Baker

Claudia masih ingat lagi semasa kecil, ada beberapa ungkapan yang digunakan untuk aktiviti seperti mencari lomoding, atau pucuk buluh. “‘Jaga pias’, atau ‘hati-hati tebing tu!’ [merupakan ungkapan] yang kami boleh fahami melalui pengalaman,” katanya. Perbezaan komunikasi setara dengan perbezaan budaya.

Kini, pemilik kafe moden mula menggunakan ramuan Kadazandusun dalam menu mereka untuk menarik perhatian. “Salah satu cara untuk memelihara budaya dan identiti adalah melalui makanan,” kata Hazli Bojili, 30. Dia menguruskan The Sixpack Baker bersama ibunya Norhanida Annol yang berumur 70 tahun. Sebahagian daripada tugasnya di kafe itu adalah untuk menjadikan ramuan asli lebih mudah diterima pada zaman moden.

Buah segar yang dipetik Pn Norhanida. Bambangan (bawah) dan kamansi atau sukun atau breadfruit (atas). Dia menyebut yang kamansi masak lemak cara yang sedap untuk menikmati buah tersebut. Gambar ihsan: Natasha Sim

“Makanan [tempatan] boleh nampak pelik. Saya pun kadang-kadang geli,” dia berjenaka. Di kafe ‘tersembunyi’ yang beroperasi selepas MCO, Hazli menaburkan tuhau di atas piza, menggunakan sambal takob akob atau bambangan dengan nasi lemaknya, dan menggunakan kodop untuk sup cendawan kerana ia lebih murah dan senang didapati.

“Saya tahu apa orang sebaya saya nak makan, dan mak saya ada ilmu makanan tradisional. Jadi kami cuba untuk bekerjasama dan menggabung cara-cara kami. Asalkan kami masih mengikut nilai budaya dan memahami intipati bahan-bahan yang ada,, saya rasa okey,” kata Hazli. Ibunya bersetuju. “Memang menarik untuk menyesuaikan sesuatu kepada cara moden. Apa yang penting, cara hidup kami tak pupus,” katanya.

Pn Norhanida dan Hazli berdiri di hadapan rumah mereka dengan taman penuh sayuran dan buah-buahan. Kebanyakan daripada buah, sayuran dan ulam yang ditanam di sini dipetik untuk The Sixpack Baker. Gambar ihsan: Natasha Sim

Ropuhan di Tanak Wagu (Dapur Bujang) pula merupakan idea Pison Jaujip, 36. Pada awal 2016, Pison menggunakan cara yang sama untuk menarik perhatian generasi media sosial kepada makanan asal Kadazandusun.

“Saya mula di Facebook. Dulu saya akan muatnaik resepi ‘fusion’ seperti penkek dengan ‘beri hutan’ gosing,” katanya. Gosing merupakan sejenis beri hutan yang sudah mula lesap daripada pengetahuan makanan Sabah.

Jumlah pengikut laman Instagram dan Facebook Pison adalah sekitar  72,000 orang. Tapi dia masih berusaha. “Saya sudah tidak berkongsi resepi fusion lagi. Sekarang saya lebih fokus kepada resepi tradisional dan juga ramuan sebab saya rasa bahan tempatan perlu lebih dihargai lagi,” katanya.

Pison berdiri di sebelah pokok liposu atau buah asam pahong di Taman Kinabalu. Buahnya rasa manis dan masam, seperti buah asli yang lain. Pison berkata yang liposu sedap dibuat sambal bersama tuhau, limau, dan cili. Gambar ihsan: Pison Jaujip

Resepi tradisional yang digunakan Pison diturunkan oleh neneknya, dan dia risau pengetahuan ini akan hilang selamanya. Pempengaruh makanan ini juga menyatakan kesukaran untuk mendapatkan bahan yang dulunya mudah didapati di mana-mana dan kini semakin kurang ada di tamu mahupun pasar.

“Sekarang bila saya ke tamu, apa yang saya nampak cuma tuhau, bambangan, dan losun. Itu-itu saja,” katanya. Bahan hutan seperti tanggianggi, buah yang berperisa seperti markisa dan berbau seperti vanila, semakin susah untuk dicari apabila hutan ditukar menjadi ladang. Apabila Pison bertanya peniaga tamu tentang bahan lain, mereka akan menjawab, “Tiada permintaan bah, nak.”

Tanggianggi, tengaranuk, atau angil manuk adalah sejenis beri masam yang endemik di Sabah. Pison berkata yang bau buah ini seperti buah markisa dan vanilla. Gambar ihsan: Ropuhan di Tanak Wagu
Tanggianggi, tengaranuk, atau angil manuk adalah sejenis beri masam yang endemik di Sabah. Pison berkata yang bau buah ini seperti buah markisa dan vanilla. Gambar ihsan: Ropuhan di Tanak Wagu

Mungkin cara lama sudah primitif, kata Norhanida dari The Sixpack Baker. Anaknya Hazli berkata semasa perayaan Kaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan pada tahun lepas, gerai makanan tradisional ibunya tidak terlalu laku. Sebaliknya, pengunjung mencari nuget dan kentang goreng sebagai pusas, atau makanan ringan.

“Saya mahu menukar pemikiran itu. Primitif itu semula jadi, organik, dan paling penting, berkhasiat. Makanan itu kesihatan,” kata Norhanida, yang juga pengerusi North Borneo Herbal Growers Association.

Belum sempat menjadi popular, budaya makanan Kadazandusun telah diambil alih oleh makanan dan ramuan dari budaya-budaya majoriti di Malaysia. Hazli berkata: “Macam belum jadi, dah hilang.”

**

Natasha Sim dilahirkan dan dibesarkan di Sabah. Dia menggemari semangkuk ngiu chap setiap pagi. 

Diterjemah oleh Alia Ali.

Baca seterusnya:  foraging, kadazandusun, sabah

Baca seterusnya

101 Gitu: Penjerukan dengan biji pangi

Panduan menjeruk dengan pangi

101 Gitu: Penjerukan dengan biji pangi

Pembuatan budu, hasil istimewa penjerukan ikan bilis

Sorotan tentang budu

Pembuatan budu, hasil istimewa penjerukan ikan bilis

Budaya barbeku Dayak di Sarawak

Sejarah dan evolusi barbeku Dayak

Budaya barbeku Dayak di Sarawak

Baca seterusnya

periuk

© Hak cipta Periuk 2024

© Hak cipta Periuk 2024

periuk