08 Oct 2021
Asam jawa merupakan antara ramuan yang sering dijumpai di Asia Tenggara; pelajarilah cara untuk menyediakannya untuk pelbagai lauk.
Apakah erti makanan Malaysia tanpa asam jawa? Buah masam-manis ini terdapat dalam pelbagai lauk di negara-negara Nusantara dan Asia Selatan, memberi perisa yang pedar tetapi menenangkan kepada sajian harian kita semua.
Asam jawa merupakan buah masak dari pokok asam jawa yang tumbuh di banyak negara tropika dan subtropika. Apabila masih di pokok, ia kelihatan seakan kacang tanah besar (ia memang sejenis kekacang pun) dan di bawah kulitnya yang mudah merekah terdapat isi perang melekit melekat pada biji-bijinya. Jangan kelirukan asam jawa dengan asam keping; asam keping merupakan buah dari pokok gelugur yang dihiris nipis dan dikeringkan.
Di Malaysia, asam jawa sering terdapat dalam bentuk ketulan besar, kulitnya dibuang dan isi dan biji-bijinya dimampatkan kepada saiz buku lima. Kadang-kadang bijinya telah dibuang sekali, tetapi apa-apa pun, asam jawa harus diperah dahulu sebelum digunakan. Ingat, cuba rasa setiap bungkusan asam jawa, kerana walaupun jenama atau pembekalnya mungkin sama, tahap masam-manisnya mungkin berbeza.
Anda memang boleh sahaja membeli pes asam jawa yang sudah siap (Adabi menjual pes asam jawa dilabelkan ‘asam jawa xtra’). Kalau begitu, guna separuh sahaja amaun yang disenaraikan di dalam resepi yang menggunakan isi atau jus asam jawa, kerana pes sudah siap agak pekat. Tapi kalau anda seperti kami, anda akan mendapati bahawa proses pemerahan asam jawa ini sebenarnya agak menenangkan.
Tiga resepi Periuk yang menggunakan asam jawa:
Nak rendam ke tidak?
Panduan menjeruk dengan pangi
Membersih buah keluak dengan selamat