Periuk logo
Periuk logo

Apabila hidangan ini muncul di meja makan kami pada pertengahan bulan Oktober tahun lalu, rupanya seperti salad biasa. Selepas sesuap dirasa: “Rasa macam yee sanglah.”

Ibu saya tersengih. “Memang pun.”

Ini bukan kali pertama kami tidak mengikut tradisi. Kali pertama berlaku masa pertengahan tahun 2019 apabila kami mengadakan jamuan makan malam Tahun Baru Cina untuk kakak saya. Dia baru sahaja pulang dari Toronto selepas dua tahun di sana.

Kami melambung ikan salmon dan hirisan sayuran dalam suasana lembap dan panas di rumah makcik saya di Subang Jaya, dengan penuh ketawa geli hati kerana situasi itu agak tidak masuk akal. Ruang tamu dihias seakan Tahun Baru, padahal sudah bulan Julai. Kami menghidangkan cawan-cawan teh kepada matriark kami dan berpura-pura fasih bertutur bahasa Kantonis sambil memohon berkat. Kami menyalakan mercun yang telah berbulan disimpan. Kami makan menu yang sebiji sama seperti malam Tahun Baru yang sebenar, tetapi rasanya lebih lazat: ikan stim berendam dalam halia dan kicap; ayam goreng yang rangup tak terkata; zai choy berkilau seakan emas ros.

Sudah bertahun kami tidak bersama. Ada sahaja yang bercuti, berjalan, bekerja.

Malam Tahun Baru yang baru untuk kakak saya hari itu memang rasanya sesuai. Melambung yee sang pada bulan Julai? Sangat digalakkan.

Kembalilah kami ke sini: yee sang di pertengahan bulan Oktober, di pertengahan pandemik, berbulan selepas hari-hari pertama Tahun Baru Cina. Kami telah menghidangkannya banyak kali dalam bulan-bulan seterusnya.

Budaya makanan Malaysia penuh dengan benda yang patut—asam laksa sepatutnya macam ini; nasi lemak yang sempurna sepatutnya macam itu—jadi kalau nak difikirkan mungkin pelik untuk melanggar peraturan yee sang. Tetapi kami rasa seperti kami menuntut kembali perayaan ini, supaya kami boleh makan apa sahaja yang kami mahu. Kami menuntut kembali masa kami dari lohong hitam hasil rekaan virus ini.

Kalau nak bandingkan dengan segala yang telah berlaku, apa kisahnya tak ikut adat sekali-sekala?

###

Boleh dikatakan yee sang dicipta akibat adat yang dilanggar.

Alkisahnya, seorang ketua tukang masak di Seremban, Loke Ching Fatt, mahu menarik pelanggan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua. Dia mereka produk yang mengambil kesempatan ke atas kebiasaan masyarakat Cina untuk berbelanja boros pada Tahun Baru, dan juga rasa suka mereka dengan makanan. Imigran memang pintar, jadi Loke mencipta hidangan yang menggabungkan pelbagai tradisi yusheng dan juga sos memikat selera—segalanya terikat dengan drama lambungan, mohonan restu, dan juga jamuan. Macam manalah orang tak tertarik?

Yee sang Loke melanggar tradisi ini menjadi permulaan obsesi yang telah tersebar ke luar Malaysia dan mengilhamkan pelbagai jenis variasi sehingga ada yang sangat jauh dari resepi asal.

Ada yee sang dengan ikan mentah, atau yee sang dengan abalone; yee sang dengan carpaccio daging (tolonglah jangan buat macam ni), yee sang dengan tembikai dan anggur, yee sang dengan udang dan tomato. Yee sang untuk vegan, yee sang untuk omnivor, yee sang untuk flexitarian. Yee sang untuk semua orang.

Anda boleh melihat sejarah yang tertera di dalam cerita Loke. Budaya makanan merupakan hasil sejarah dan tradisi, tetapi juga keperluan. Bentuk dan fungsinya merujuk kepada budaya yang dibawa migran dengan penuh kasih sayang dan ketelitian dari tanah air mereka, tetapi semestinya bertindak balas dengan apa yang ada, apa yang murah, apa yang perlu.

###

Mungkin kami melanggar tradisi apabila kami berputus untuk membuat yee sang sendiri.

Sepatutnya, kami harus memesan yee sang daripada restoran atau membelinya di pasar raya; bukankah ini cara pemakan yee sang pertama? Kenapa nak susahkan diri sendiri?

Masa sudah bercelaru; jadi adakah konsep mencampur aduk tradisi makanan perayaan begitu radikal? Gambar ihsan: Michelle Yip
Masa sudah bercelaru; jadi adakah konsep mencampur aduk tradisi makanan perayaan begitu radikal? Gambar ihsan: Michelle Yip

2017 tahun yang berbeza: makcik saya yang baru bersara memutuskan untuk membuat yee sang malam Tahun Baru supaya ia segar dan menyihatkan. Penat dia menghiris dan mendadu untuk berjam-jam sehingga sebuah banjaran salad menjelma, dengan segala lobak merah dan lobak putih. Ini disusun sebagai gunung dan lembah di atas satu-satunya dulang di rumah yang cukup besar untuk memuatkan satu negara sayuran ini. Kami melambung dan mereka pohon ramat dalam bahasa Inggeris—lulus periksa markah penuh! kerja baru! teman lelaki baik!— jadinya suap pertama itu hampir sempurna.

Kami bangga kerana dapat mengelak harga mahal yee sang di restoran. Tetapi lebih daripada itu, kami megah kerana telah mengalahkan ketua tukang masak. Kami dapat melihat di sebalik tabir ahli silap mata. Kami berjaya memecahkan tradisi, dan memulakan tradisi sendiri.

Loke Ching Fatt memang akan turut bangga.

Ibu saya mencuba pula sendiri pada tahun seterusnya, bertekad untuk mengalahkan makcik saya, dan kali ini—kali ini memang sempurna. Sos plum masam (Lee Kum Kee sahaja, wahai rakan-rakanku), diimbangi limau dan madu, melawan kemasaman daun lik jeruk. Kesegaran dan kedinginan lobak merah, lobak putih, daun salad; kerangupan kacang dan biji bijan sangai; keropok hancur yang dibawa dari Terengganu—kesemuanya membuat saya menggigil dengan gembira.

###

Di Kuala Lumpur, anda boleh menentukan kalendar anda mengikut makanan apa yang menjelma pada waktu bila. Apabila TTDI penuh dengan gerai lemang, inilah waktu Ramadan dan Raya; pada perayaan kuih bulan, tibalah kuih bulan dan kacang tanah, bersama tanglung dan lilin berwarna-warni. Deepavali ada muruku, Krismas ada berbiri panggang, dan Tahun Baru Cina ada yee sang, tart nanas, kuih kapit.

Setiap perayaan dan makanannya merupakan jemputan ke sesuatu yang baru, hadiah berbentuk masa untuk membetulkan salah-silap lalu. Bagi saya, musim-musim makanan ini menolong kami untuk memberi perhatian kepada perkara berbeza sepanjang tahun: berterima kasih, kekeluargaan, rezeki, pengorbanan, akhirnya derita, dan masa hadapan.

Pandemik ini telah merosakkan persepsi masa. Kami tidak boleh bersama untuk beraya—dan tanpa perubahan musim dan perayaan, masa telah senyap, seakan tidak berdetik. Terbalik dan penyek dan tidak boleh dicam lagi. Apa yang ada apabila kami sudah hilang identiti antara hari-hari yang semua sama sahaja? 

Dan lihatlah, kita semua masih boleh bertahan.

Di seluruh sosial media semasa pandemik, saya menyaksikan rakan-rakan berusaha melawan rasa tekanan dan memulakan projek makanan penuh cabaran: sourdough, biskut dam, rendang, kuih bangkit, kek lapis pandan, murukku. Ini semua seakan menonton kalendar perayaan dimasukkan ke dalam blender dan hidangan terpercik keluar secara rawak.

Pada hujung tahun lepas, tart nanas menjelma dua kali—sekali pada Tahun Baru Cina, dan sebelum Krismas—seperti ajaib dari tauke biskut kami. Agak pelik duduk di bawah lampu kelip-kelip pokok Krismas sambil mengunyah pastri penuh mentega dan jam nanas di tengah, tatkala kepalaku berdenyut memikirkan Tahun Baru Cina lepas dan akan datang.

Konsep masa sudah bersepah, tetapi tempoh antara Januari 2020 dan Januari 2021—sebelum virus, antara sekatan pergerakan, bermimpi dalam akibatnya—terfikir juga yang perasaan berterima kasih dan gembira memang boleh berlaku tidak kira ada perayaan atau tidak.

Bagaimana kalau kita fikirkan kembali hubungan kita bersama perayaan, dan menyedari bahawa perasaan perayaan tidak terikat kepada kalendar? Masa tidak terhad kepada apa yang kita letak ke atasnya, dan kita tidak perlu bergantung kepada masa untuk memberitahu kita kalau kami boleh melanggar tradisi ke tidak. Buat sahajalah. Kenapa harus tunggu untuk memohon rahmat bersama segunung sayuran dan menyepahkannya? Kenapa tak boleh makan lemang berlemak direndam kuah kari, atau kuih bulan yang sudah lama tersimpan di ceruk peti ais anda?

Oh sayang, dunia dah nak kiamat dah. Makan sajalah tart nanas. Lambunglah yee sang. Kita masih ada hak untuk bergembira.

Untuk menyediakan yee sang ibu Samantha, lihat resepinya di sini

** 

Samantha Cheh seorang penulis dan tukang makan yang menetap di Kuala Lumpur. Untuk lebih maklumat tentang hasil kerjanya, click di sini atau ikutinya di Twitter.

Diterjemah oleh Alia Ali.

Baca seterusnya:  cina, keluarga, tahun baru cina, yee sang

Baca seterusnya

Ada T-Rex di ruang tamu

Anak yang mendambakan ibunya

Ada T-Rex di ruang tamu

Ketelitian proses pembuatan wain merah Foochow

Usaha membuat wain merah Foochow

Ketelitian proses pembuatan wain merah Foochow

Tentang Prosperity Burger dan sahabatku yang nun jauh di sana

Ada apa dengan Marsha?

Tentang Prosperity Burger dan sahabatku yang nun jauh di sana

Baca seterusnya

Ada T-Rex di ruang tamu
Ketelitian proses pembuatan wain merah Foochow
Tentang Prosperity Burger dan sahabatku yang nun jauh di sana

 
periuk

© Hak cipta Periuk 2024

© Hak cipta Periuk 2024

 
periuk