Periuk logo
Periuk logo

Tahukah anda bila Tahun Baru Cina akan menjelma di Malaysia? Apabila Prosperity Burger kembali ke menu McDonald’s, semestinya. Agak tidak jelas bagaimana kombinasi daging berbentuk oblong bersalut sos lada hitam, kentang goreng keriting, dan minuman berperisa oren boleh memberi maksud Tahun Baru Cina. Tetapi sudah ketara inilah tanda tibanya perayaan tersebut, meskipun minuman oren itu sahaja yang mengikut tema. Inilah yang diputuskan oleh McDonald’s Malaysia pada tahun 1994 untuk dijadikan menu perayaan mereka, dan telah dirakamkan pada peristiwa penting korporat mereka.

Bagi saya, Prosperity Burger dan McDonald’s secara umumnya, berkait rapat dengan usia lewat remaja dan awal 20an saya—20 tahun yang lalu. Saya diberi kebebasan oleh lesen memandu dan kereta sendiri, dan juga kebebasan untuk memesan hidangan lain selain enam ketul nuget ayam dari McDonald’s yang dibelanja nenek saya semasa saya kecil.

McDonald’s 24 jam di Old Town PJ merupakan sebahagian kehidupan muda saya yang tidak dapat dilupakan. Pada lewat malam, selepas puas ke kelab malam, saya dan kawan-kawan saya akan cuba memesan makanan dalam keadaan mabuk kami yang pelbagai jenis. Saya masih teringat lagi kawan saya Marsha memesan sos lada hitam ekstra untuk Prosperity Burgernya dan menerima sos itu dalam cawan sundae. Dia mahu mencuba membuat sos itu sendiri supaya dia boleh menikmatinya di New Zealand, kerana dia telah berpindah ke sana pada umur 14 tahun. Sememangnya, kalau kami ada di McDonald’s dan bukan di kedai mamak pada lewat malam, mungkin sekali kerana Marsha mahukan satu lagi Prosperity Burger.

Kentang goreng keriting dan sos tomato di atas kertas pembalut. Gambar oleh: Michelle Yip
Gambar oleh: Michelle Yip

Marsha sukakan sangat Prosperity Burger sehingga dia cuba membawanya pulang ke New Zealand. Dia membeli lima burger di KLIA untuk “makan dalam kapal terbang dan juga supaya saya boleh menikmati burger kegemaran saya di New Zealand,” katanya.

Malangnya, impiannya untuk memakan Prosperity Burger di New Zealand tidak kesampaian. “Apabila saya melalui kastam, pegawai kastam macam geli hati pun ada, meluat pun ada. Dia kata daging dimasak dari Malaysia tidak dibenarkan… saya tak faham kenapa. Kan dah masak!”

Jadi sekarang keinginan saya untuk makan Prosperity Burger sudah berkait dengan persahabatan saya bersama Marsha. Makan sedikit sahaja dan saya terus teringat kembali semua lawatan Marsha dan pengalaman pertama kami menuju era kedewasaan. Persahabatan kami bermula di sekolah rendah dan telah kekal dan semakin subur sejak dia berpindah. Apabila saya menghadiri majlis perkahwinannya empat tahun lalu sebagai pengiring, salah seorang kawannya bertanya bagaimana kami berkenalan. 

“Kamu berdua kawan sekolah rendah?!” dia bertanya, seolah-olah tidak percaya.

Itulah kali pertama saya berfikir betapa istimewanya persahabatan kami. Saya sudah lama tidak menghubungi kawan-kawan sekolah rendah, dan juga kawan-kawan sekolah menengah dan universiti, tetapi persahabatan saya dengan Marsha adalah antara hubungan yang paling berkekalan dalam hidup saya.

Kentang goreng keriting dalam bekas kertas. Gambar oleh: Michelle YIp
Gambar oleh: Michelle Yip

Perbezaan antara kami agak ketara. Saya suka mengikut gerak hati, manakala Marsha lebih teliti apabila membuat cadangan. (Dia membuat senarai baik dan buruk apabila memberi saya nasihat tentang sesuatu perkara tidak lama dahulu). Saya pernah menjengkelkannya beberapa kali kerana memecahkan rahsia. Tetapi kami boleh bergelak ketawa bersama, dan sering mendengar apa yang dikatakan oleh yang lain dengan penuh simpati. Pada saat kehidupan saya ini, saya sedar yang inilah antara perkara yang penting dalam kehidupan.

Kali terakhir kami berjumpa adalah pada tahun 2019. Saya menghantar Marsha dan suaminya Jameel ke KLIA. Semestinya, kami makan di McDonald’s. Marsha memesan Prosperity Burger daging dan saya memesan versi ikan, yang sedihnya tak ada pada tahun ini. Jameel, seorang Kiwi, memesan hidangan yang lain, kerana dia berkata yang Prosperity Burgers hanya “biasalah” selepas mencubanya sekali. (Marsha: “Aku marah betul”). Marsha sekarang menetap di United Kingdom dan saya tidak tahu bila kami akan berjumpa lagi.

Memang tak sama tanpa dia, tapi Marsha sentiasa di ingatan saya setiap kali saya makan Prosperity Burger. Dan saya terfikirkan dia apabila memesan Prosperity Burger pertama saya tahun ini. Aktiviti kecil ini seakan mengajukan minum ucap selamat untuk persahabatan kami dan segala yang kami telah lalui bersama. Apapun terjadi, warisan persahabatan kami akan sentiasa berjalin dengan kombinasi daging berbentuk oblong bersalut sos lada hitam, kentang goreng keriting, dan minuman berperisa oren.

**

Deborah Germaine Augustin seorang penulis yang lahir dan membesar di Malaysia dan inginkan sebuah dunia di mana semua boleh bergerak dengan bebas.

Diterjemah oleh Alia Ali.

Baca seterusnya

Ada T-Rex di ruang tamu

Anak yang mendambakan ibunya

Ada T-Rex di ruang tamu

Yee sang sepanjang tahun, tak mengira pandemik

Sayang, lambunglah yee sang itu

Yee sang sepanjang tahun, tak mengira pandemik

Ketelitian proses pembuatan wain merah Foochow

Usaha membuat wain merah Foochow

Ketelitian proses pembuatan wain merah Foochow

Baca seterusnya

Ada T-Rex di ruang tamu
Yee sang sepanjang tahun, tak mengira pandemik
Ketelitian proses pembuatan wain merah Foochow

 
periuk

© Hak cipta Periuk 2024

© Hak cipta Periuk 2024

 
periuk