Periuk logo
Periuk logo

Prasangka terhadap pemakanan daging lembu oleh kaum Dalit di Malaysia

oleh Miriyam Ilavenil

21 Oct 2024

Hindu berkasta di Malaysia sering memandang rendah pemakanan daging lembu, kerana lembu dianggap suci dalam agama Hindu. Tetapi, ini menyebabkan orang Paraiyar (orang asli Tamil Nadu) yang memakan daging lembu dipinggirkan di Semenanjung Malaysia.

Pada tahun 1925, seorang remaja 17 tahun bernama Thangamaal dari Chengalpattu di Tamil Nadu, berhijrah ke Tanah Melayu bersama suaminya. Thangamaal masih hamil tiga bulan dengan anak sulungnya. Dia sampai di Ladang Getah Batang Padang, Teluk Intan, dan bekerja sebagai penoreh getah. Dia menetap di sana dan kemudian dikurniakan anak bongsunya, Muthuvelo Tangakrishnan Neelavanan, pada 1952.

Thangamaal seorang Paraiyar, kaum asli Tamil yang dipaksa menjadi ‘untouchable’ (‘tidak harus disentuh’) oleh masyarakat Hindu.

Kajian sarjana P. Velusamy menunjukkan bahawa pada zaman mediaeval, vendar Tamil (pemilik tanah) menerima sistem kasta pendatang Brahmin untuk melindungi dan memelihara kuasa mereka terhadap tanah dan masyarakat. Ini menyebabkan banyak kaum asli seperti Paraiyar ditakluki menjadi hamba tak berharta yang ‘dimiliki’ kaum bangsawan kasta Hindu.

Kiri-kanan: Isteri Neelavanan, Rajaletchumy; Neelavanan, Rajaletchumy, dan anak perempuan mereka, Neelamalar.

Sistem kasta meletakkan kaum Brahmin—orang yang mempraktikkan vegetarianisme—di tingkat tertinggi heriarki. Mereka diikuti Kshatriya, Vaishya, dan Shudra. ‘Dalit’, nama yang diberi kepada semua kasta ‘untouchable’, hanya wujud di luar sistem ini dan sering dikejami.

Dari tahun 1830an, sistem kasta digunakan sebagai struktur sosial oleh penjajah British untuk mengusir beratus ribu orang Dalit dan Shudra rendah, seperti Thangamaal, untuk bekerja di ladang-ladang di tanah jajahan British melalui sistem buruh ‘indenture’ (‘terikat’).

Sarjana Benedicte Hjejle menyatakan bahawa kita masih tiada anggaran bilangan orang dari setiap kasta yang dibawa ke tanah jajahan British (termasuk Tanah Melayu) kerana pentadbiran penjajah tidak merekod kasta buruh Tamil yang berhijrah.

Walau bagaimanapun, sarjana Rajshekar Basu berkata bahawa dalam konteks Tanah Melayu, kebanyakan pekerja Tamil merupakan Dalit dari kasta Paraiyar dan Pallar. Terdapat dokumen dari pentadbiran penjajah yang menunjukkan bahawa pekerja Tamil-Dalit paling sesuai untuk dijadikan buruh ladang kerana dianggap ‘jinak’ dan ‘patuh’.

‘Ya, saya makan daging lembu. Jadi?’

Thangamaal tidak reti membaca atau menulis, tapi membesarkan anaknya Neelavanan di ladang dengan kisah-kisah Mahabaratham, Ramayanam, dan juga lagu Tamil Bhakti. Walaupun dia seorang penganut Hindu yang kuat, dia seorang yang suka makan daging lembu, daging yang sering dianggap ‘tidak suci’ oleh Hindu berkasta.

“Pernah sekali, mak saya membeli daging lembu dari pekan, dan bila jiran bertanyakan apa yang dia masak, dia akan menjawab ‘daging kambing’. Bila saya tanya akka (kakak) kenapa amma (mak) berkata begitu, dia kata orang [Hindu] yang sembahyang tidak boleh makan daging lembu,” kata Neelavanan.

Neelavanan bersama isterinya Rajaletchumy.

Semasa Neelavanan membesar, dia mula memahami bahawa keagamaan Hindu tentang daging lembu digunakan sebagai senjata ke atas Dalit yang memakannya. “Orang di sekeliling saya makan daging kambing, daging ayam, daging biawak, daging babi—mereka makan semuanya,” katanya. “Tetapi kalau daging lembu, dia kata yang itu tuhan. Dia kata orang [Hindu] yang makan daging lembu mestilah dari sesebuah kasta. Kami membeli [daging lembu] dengan duit sendiri; kami tidak mencuri atau meminta sedekah. Ya, saya makan daging lembu. Jadi?”

Lama kelamaan, budaya memakan daging lembu telah berkurangan di kalangan Dalit di Malaysia supaya dapat bebas daripada sistem kasta dan juga untuk mempraktikkan budaya Hindu berkasta. Anjakan ini boleh dilihat dalam keluarga Neelavanan sendiri; adik beradik dan saudaranya tidak memakan daging lembu dan menyoal kebiasaannya memakan daging lembu.

Mempolitikkan vegetarianisme

Karan Karki, seorang penulis Dalit di Tamil Nadu, mensejarahkan pendewaan lembu dan vegetarianisme, menganggapkannya disebabkan percubaan Brahminisme untuk menguasai masyarakat Tamil secara hegemoni.

Dia berkata bahawa pada abad ke-7, ramai penganut agama Jain dan agama Buddha dibunuh oleh mereka dari sistem berkasta. Penzaliman agama ini dikatakan penyebab Hinduisme meniru tradisi vegetarianisme agama Jain dan agama Buddha. Orang Tamil feudal pada zaman itu mula mengikut gaya hidup vegetarian orang Brahmin untuk meningkatkan mobiliti sosial, sesebuah amalan yang masih wujud pada hari ini.

Neelavanan membaca autobiografinya bertajuk ‘Naan Periyarai Arinthapothu’ (Bila Saya Bertemu Periyar) yang ditulis dan diterbitkan sendiri pada 2022. Gambar: Michelle Yip.

“Paraiyar, orang asli Tamil, tidak mengikut amalan ini dan terus memakan daging lembu,” kata Karan. “Kerana orang Dalit memakan daging lembu, daging inilah yang dikaitkan dengan ketidaksucian dan ‘untouchability’. Kini, daging lembu dikaitkan dengan orang Muslim oleh Hindu berkasta untuk merenggangkan lagi hubungan antara kaum.”

Terdapat dokumentasi orang Tamil memakan daging lembu dalam sastera Sangam—ditulis antara abad ke-2 dan ke-5 Masihi—dan juga pemakanan dan pengorbanan daging lembu dalam kitab Hindu seperti Manu Dharmam, Manusmriti, dan Mahabharata.

“Ketua agama Hindu seperti Sankaracharya dan Vivekananda mengangkat pemakanan daging lembu sebagai amalan penganut kuat agama Hindu,” tambah Karan.

Penulis Tamil Malaysia Navin Manogaran berkata bahawa realiti kepinggiran kaum Tamil Malaysia mungkin mempengaruhi anjakan budaya kepada vegetarianisme.

“Orang Tamil [di Malaysia] tidak yakin dengan diri sendiri kerana mereka tiada kuasa politik; mereka dianggap sebagai orang luar yang dibawa ke sini,” kata Navin. “Oleh itu, mereka memilih amalan Brahmin supaya boleh mendapat status sosial yang lebih tinggi.”

Rempah dan ramuan untuk membuat peratal daging lembu. Gambar: Michelle Yip.

Sebagai penduduk Lunas, Kedah, Navin ingat pada tahun 70an, kampungnya dan kampung bersebelahan digeluti politik kasta, jelas ternyata melalui pengurusan kuil tempatan yang dikuasai masyarakat Hindu berkasta yang mengamal Brahminisme.

“Apabila kuil Muniyandi diurus poosari (orang bukan Brahmin), daging dibenarkan, tetapi apabila menjadi kuil Muneswaran dan aiyer (orang Brahmin) mengambil alih, daging dianggap tidak suci dan vegetarianismelah yang suci,” kata Navin.

Dalam sejarah kini masyarakat Malaysia yang didominasi hegemoni Tamil Hindu berkasta, seorang berbangsa India adalah beragama Hindu, dan seorang Hindu tidak memakan daging lembu. Sukar untuk mempertimbangkan kekompleksan apabila budaya dipaksa menjadi satu supaya senang dihadam orang ramai. Restoran India di Malaysia menjual pelbagai masakan berdaging kecuali daging lembu, manakala hanya restoran mamak Tamil-Muslim yang menghidang daging lembu, dan mereka sering dianggap melanggar ‘budaya India’.

Daging lembu sebagai simbol permusuhan

Kebanyakan penduduk di ladang tempat Neelavanan membesar merupakan Paraiyar Hindu, bersama tujuh keluarga Telugu Hindu, dan tiga keluarga Hindu berkasta.

“Kami seakan saudara, panggil ‘maama’ dan ‘akka’, tapi masih ada [Hindu berkasta] yang tidak datang ke rumah kami untuk makan,” kata Neelavanan.

Amalan ini merunsingkannya lagi apabila Hindu berkasta di ladang tersebut boleh sahaja makan di rumah keluarga Cina berdekatan, dan dihidangkan daging anjing liar yang diburu.

Pembuatan peratal daging. Gambar: Michelle Yip.

“Pernah sekali bila saya masih kecil, saya ke pekan dan ada makcik Melayu kata ‘poda paraiya’ (‘berambuslah paria’) kepada saya, dan saya terfikir kenapa dia bercakap dengan saya sebegini. “Ada pula masa saya bekerja di kontena petrol, saya bertanya pelanggan Cina kalau dia mahu minyak yang mahal atau yang biasa. Dia menjawab ‘taruk itu paraiya punya minyak’. Pada waktu itulah saya sedar yang orang di luar masyarakat Tamil pun memandang rendah orang Dalit.”

Neelavanan berkahwin dengan Rajaletchumy dalam perkahwinan antara kasta, dan isterinya membesar dalam rumahtangga yang tidak memakan daging lembu. Apabila Neelavanan membeli daging lembu dari kedai, Rajaletchumy akan memasaknya untuk suami tetapi tidak akan memakan lauk daging lembu yang dimasak.

Selepas Rajaletchumy meninggal dunia, Neelamalar, anak sulung mereka, mula memasak untuk keluarganya. “Saya belajar setiap resepi dari mak saya, tetapi dia tak pernah ajar saya macam mana nak masak daging lembu. Saya guna sahaja teknik sama kalau nak masak daging kambing,” kongsi Neelamalar.

Setakat ini, dia telah mencuba memasak malli (biji ketumbar) daging, kurma daging, pizza daging, peratal dagin, dan rendang daging, kesemuanya dengan daging lembu. Dia teruja hendak memasak kari daging lembu.

Apabila Neelamalar membuat peratal daging lembu gaya Tamil, dia menggunakan rempah ratus seperti jintan manis, jintan putih, biji ketumbar, lada hitam, kayu manis, buah pelaga, dan bunga cengkih, kesemuanya rempah yang digunakan Tamil Hindu berkasta apabila membuat peratal ayam atau daging kambing. Perbezaannya hanyalah dalam perisa yang diberi daging berlainan kepada lauk tersebut.

Peratal daging lembu siap dimasak. Gambar: Michelle Yip.

Kerana ayahnya seorang ateis Periyar, Neelamalar dibesarkan tanpa agama. Satu-satunya perayaan yang disambut apabila dia membesar ialah perayaan menuai Tamil sekular Ponggal, kerana kaitan kuat keluarganya kepada identiti Tamil mereka. Kebanyakan Tamil Hindu di Malaysia menganggap Deepavali sebagai simbol budaya mereka, tetapi ramai Tamil sekular anti-kasta menganggap Ponggal sebagai perayaan akar umbi budaya Tamil anti-Brahmin.

Semasa Ponggal, ibu Neelamalar sering memasak daging kambing sebagai lauk utama kerana mereka gemarkan rasa daging kambing, dan juga menghidangkan daging lembu. Tetapi, apabila tetamu datang ke rumah, tidak kira keluarga atau jiran, mereka tidak akan memasak daging lembu untuk mereka.

“Memang dah selalu macam tu,” kata Neelamalar.

Dapatkan resepi peratal daging lembu Neelamalar.

***

Miriyam Ilavenil seorang wartawan dan keturunan buruh Tamil Dalit. Dia berminat memahami politik dan sejarah Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Diterjemah oleh Alia Ali.

Baca seterusnya

Peratal daging lembu

Kari untuk perayaan

Peratal daging lembu

Panduan kudapan Deepavali

Kudapan untuk musim perayaan

Panduan kudapan Deepavali

Melestarikan budaya makanan Kadazandusun untuk generasi akan datang

Masa depan makanan Kadazandusun

Melestarikan budaya makanan Kadazandusun untuk generasi akan datang

Baca seterusnya

Peratal daging lembu
Panduan kudapan Deepavali
Melestarikan budaya makanan Kadazandusun untuk generasi akan datang

 
periuk

© Hak cipta Periuk 2024

© Hak cipta Periuk 2024

 
periuk